Tuesday, February 23, 2010

Fiqh Sirah.

Siri 4:

Kelahiran Nabi Akhir Zaman s.a.w

Nama dan Nasab Keturunan Baginda:

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Lu’ai bin Gholib bin Fihr bin Malik bin An-Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin muad bin Adnan.

Salasilah Nasab Baginda sampai di sini sahaja yang disepakati oleh para Ulama. Adapaun yang selepasnya ( Yang membawa kepada bertemu Saidina Ismail bin Saidina Ibrahim alaihimas salam ) maka berlaku perselisihan antara ulama.

Namun tetap semua bersepakat bahawa Adnan dalam nasab ini merupakan keturunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim alaihima salam.

Sesungguhnya Allah swt telah memilih Nabi dari sebersih-bersih qabilah dan sebaik-baik perut dan sulbi keturunan. Tidak ada dari kalangan jahiliyah seorang pun yang mempertikai kelebihan nasab Baginda Nabi.

Nabi saw pernah bersabda dengan maknanya : “ Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dari anak Ismail dan memilih Quraisy dari Kinanah dan memilih pula Hasyim dari Quraisy lalu memili Aku dari Bani Hasyim ”

Kelahiran :

Baginda saw dilahirkan pada tahun gajah ( iaitu tahun di mana tentera bergajah abrahah menyerang Mekah dan menembak Kaabah), hari isnin 12 Rabiul Awal bersamaan 571 masihi (sebahagian lain mengatakan 570). Demikian mengikut riwayat yang masyhur.

Adapun mengikut pandangan Mahmud Basya Almisri, seorang ulama’ Falak yang agung, kelahiran nabi ialah pada hari isnin, 9 Rabiulawal tahun gajah, bersamaan 20 April 571 masihi.

Manakala Al-Qadhi Muhammad Sulaiman al-Mansur pula secara jelas menyebut terus dalam kitabnya (rahmatan lil alamin) bahawa kelahiran Baginda ialah pada 9 Rabiulawal tahun gajah bersamaan 22 April 571 masihi.

Bapa Baginda nabi telah meninggal ketika ibunya Aminah binti Wahb sedang 2 bulan mengandung Baginda saw.

Setelah Baginda dilahirkan, ibunya menyerahkannya kepada Abdul Muttalib, datuk Baginda sebelah Abdullah. Abdul Mutallib menerima Baginda lalu membawa bayi kecil itu bertawaf kelilingi kaabah dan dinamaknnya Muhammad (manusia terpuji). Sedangkan ketika itu, nama tersebut tidak pernah pun digunakan oleh arab. Mereka bertanya kepada Abdul Muttalib kenapa memilih nama itu, lalu datuk Baginda itu menjawab “ Aku mahu Allah memujinya di langit dan makhluk memujinya di bumi”. Demikian seakan-akan ilham daripada Allah.

Penyusuan dan kehidupan kanak-kanak Baginda saw:

Orang pertama yang menyusukan Baginda ialah ibunya Aminah. Kemudian Baginda disusui oleh Thuwaibah, Jariah kepada bapa saudara Baginda, Abu Lahab, dalam beberapa ketika. Kemudian Abdul Mutalib menginginkan pula cucu kesayangannya itu disusui oleh Badiyah (orang kampung). Adapun memang sudah menjadi adat arab mencari badiah untuk menyusui anak mereka dan memberikan anak-anak mereka kehidupan pertama di persekitaran kampung kerana udara dan suasana di kampung yang baik, akhlak orang-orangnya juga masih elok dan sederhana, jauh dari kerosakan seperti di pekan selain bahasa di kampung juga lebih asli (dan ini lah suasana yang terkenal di kampung Bani Saad).

Ketika dicari ibu susunya, Nabi yang yatim itu tidak mahu disusui oleh badiah-badiah lain kerana Nabi tidak mempunyai bapa. Badiah yang mengambil upah menyusu selalunya mencari anak-anak yang dikenali bapanya.

Halimah As-Saadiah yang keluar mencari anak susu tidak bertemu bayi lain. Tatkala Halimah melihat Nabi, perasaannya berubah dan tertarik dengan Nabi. Allah telah mencampakkan rasa cinta dan kasihan dalam hati ibu itu. Lalu diambilnya Baginda dan disusuinya serta di bawa pulang ke Kampung Bani Saad.

Ketika itu, kampung Bani Saad dalam keadaan kemarau. Namun, dengan kehadiran Nabi di kampung itu, keadaan mula berubah. Malah keberkatan itu mula dilihat dalam permusafiran pulang lagi di mana bekalan mereka menjadi banyak dan cukup. Kampung yang tadi kering sudah mengeluarkan hasil-hasil yang banyak.

Ketika Baginda di Kampung Bani Saad inilah berlakunya peristiwa pembedahan dada di mana ketika itu Nabi sedang bermain bersama kanak-kanak lain. Jibril datang dan membelah dada Nabi lalu dibuangkan gumpulan darah hitam (tempat kejahatan syaitan) dan dibasuh hati nabi dengan air zamzam lalu dikembalikannya seperti asal. Demikian seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Bimbang Sesuatu telah berlaku, Halimah As-Saadiah dan suaminya mengambil keputusan menghantar kanak-kanak bertuah ini pulang kepada ibunya Aminah.

Nabi dijaga di Bani Saad sehingga umurnya 5 tahun. Ketika di Bani Saad juga nabi sempat menggembala kambing bersama saudara-saudara susunya yang lain. Kehidupan nabi di Bani Saad sangat baik dengan keadaan dan suasana Fitrah yang terjaga, tenang dan bahasanya yang fasih.

Ketika Nabi masih memerlukan kasih sayang seorang ibu, Ibunnya Aminah terlebih dahulu dijemput bertemu dengan Allah. Aminah meninggal ketika nabi berusia 6 tahun. Setelah itu, nabi diperlihara pula oleh datuknya Abdul Mutallib sebelum dijaga oleh bapa saudaranya Abu Tholib selepas datuknya itu meninggal ketika umurnya 8 tahun.


Pengajaran dan Iktibar:

1. Jelas menunjukkan kemuliaan Nabi Muhammad saw melalui nasab keturunan dan kaum yang terbaik.

2. Kehidupan awal Nabi saw (ketika kecil) jauh dari tarbiyah Bapa dan datuknya yang sangat berpengaruh dan mulia di kalangan kaum mereka. Nabi juga tidak membesar dalam jagaan ibunya. Beliau lahir dalam keadaan yatim, kemudian membesar di Kampung Bani saad. Baginda sempat bersama ibunya Aminah selepas itu lebih kurang setahun sahaja sebelum Ibunya pula meninggal dan kemudiannya dia dijaga pula oleh datuknya selama 2 tahun sahaja. Sesungguhnya Allah telah aturkan dan memilih kehidupan Nabi seperti itu supaya manusia khususnya mereka yang memusuhi risalah Nabi (termasuk golongan orientalis) tidak berupaya meragukan bahawa kehidupan nabi itu dibentuk oleh keluarganya yang mulia. Bahkan kemuliaan Nabi itu adalah pemeliharaan langsung dari Allah. Setiap akhlaknya, fie’lnya, dakwahnya, imannya semuanya wahyu langsung dari Allah. Oleh itu, manusia tidak akan ragui lagi keaslian dakwah robbaniah nabi malah yakin bahawa risalah yang dibawa oleh nabi itu tidak langsung dipengaruhi oleh tangan-tangan manusia termasuk kerabatnya yang sangat berpengaruh dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam masyarakat ketika itu.

3. Ulama bersepakat bahawa kehidupan Bani Saad berubah dengan sebab keberkatan Nabi walaupun Baginda masih kecil. Demikian menunjukkan ketinggian dan kemuliaan peribadi Nabi di sisi Allah. Mengambil iktibar dari kisah ini, para ulama berpendapat tidak salah bertawasul dengan orang solih. Syariat mengajar kita supaya berdoa dengan berkat orang-orang solih dan ahli bait rasulullah saw dalam keadaan hati yang yakin kepada Allah supaya diterima doanya.

4. Kisah pembedahan dada Nabi yang berlaku ketika berada di Kampung Bani Saad itu diriwayatkan dari hadis yang sohih, tidak ada ruang lagi untuk meragui kisah tersebut. Hikmah dari kisah ini bukanlah menunjukkan Malaikat membuang kejahatan dari diri rasulullah semata-mata. Kerana kalau pembedahan boleh membuang kejahatan seperti itu, maka pasti manusia boleh menggunakan pembedahan yang modern hari ini untuk membuang bekas jahat dalam dirinya. Tetapi lebih dari itu – waLlahu a’lam – Allah mahu mengiklankan dan menghebahkan pemeliharaanNya terhadap rasulullah semenjak kecilnya lagi. Allah menggunakan jalan yang berbentuk maaddi ( yang boleh dilihat oleh manuisa ) untuk menceritakan perihal maknawi ( yang tidak boleh dilihat, tetapi cuma dirasai oleh hati ) kerana uslub ini lebih dekat untuk diterima oleh manusia lalu meyakini kerasulan Baginda.

Namun apapun hikmahnya, yang pasti kisah ini datang dari jalan-jalan yang sohih dan diceritakan oleh sahabat yang ramai. Pembedahan yang berlaku adalah pembedahan yang benar. Antaranya seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim. Tidak ada ruang lagi untuk meragui kesasihan sumbernya. Ada orang mengatakan kisah ini adalah majaz kepada pemilharaan Allah sahaja, dan pembelahan dada itu tidak berlaku pun. Namun, mizan untuk kita menerima khobar ini ialah kaedah “asal kepada sesuatu kalam itu ialah hakikatnya”. Justeru, tidak ada takwilan dalam kisah ini. Jelaslah sekiranya ada yang meragui lagi kisah ini, maka itu datangnya dari iman yang lemah kepada Allah dan Nabi Muhammad saw. Jika tidak, mengapa tidak boleh mengimani kisah yang terjamin kesahihannya? Apakah susah untuk mengimani sesuatu yang sudah terjamin kesahihannya?


- Rujukan :
1. Fiqh Sirah, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Boutei
2. Fiqh Sirah, Dr. Muaffaq Salim Nuri
3. As-sirah An-Nabawiyah, Abu Hasan Ali An-Nadwi