Thursday, March 29, 2007

Menjana Kecemerlangan Memperkasa Kesatuan

Menapak di era 20 an penubuhan
Menjana Kecemerlangan Memperkasa Kesatuan

Mukaddimah
2007, PPMS dilihat masih kuat untuk terus bertapak sebagai wadah utama dalam menjamin kepentingan pelajar Malaysia di Syria. Dikemudi dengan nafas dan wajah-wajah baru, PPMS diharap akan terus menjadi wira memperjuangkan matlamat penubuhannya terutama dalam menjamin kebajikan, menggilap akademik serta cemerlang dalam tarbiah di samping diplomasi yang matang dengan semua pihak selari dengan umur persatuan yang sudah masak untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan badan-badan lain seumpamanya. Persatuan sekarang menapak mula di era 20 an umur penubuhannya akan meneruskan lagi matlamat penubuhan yang sama dan menjadi wadah tunggal naungan pelajar-pelajar Malaysia di Syria serta mengungguli penyatuan fikrah dan penggemblengan kudrat demi menjamin perpaduan yang sentiasa disenangi.

Berlatarkan Perlembagaan Persatuan yang telah digubal besar besaran pada tahun lalu, wajah pimpinan tahun ini semestinya adalah yang terpilih menjadi kelompok pertama bekerja dengan nafas yang baru dan memberi kesegaran baru kepada semua ahli dalam berpersatuan. Mentadbir di gerbang mula era 20 an berpandukan sistem yang baru diperkenalkan dengan 84.6% dari barisan exco merupakan muka-muka baru, menjadikan terlalu banyak mata memandang dan menanti sejauh mana kelompok pimpinan terpilih ini mampu bertahan. Pelbagai keputusan yang dianggap kontroversi atau tidak sebenarnya telah diperbualkan oleh sebilangan ahli.

Walaupun telah melalui pelbagai rencah hidup, beraneka karenah ahli dan beragam jenis tribulasi yang kadang-kadang bersifat kronik, tugas menyatukan semua ahli dengan pelbagai fikrah dari pelbagai latar belakang bukan menjadi suatu kerja yang remeh dan mudah. Setiap sesi pentadbiran, hal ini amat dititikberatkan. Beraneka metode harus dikaji dan diadaptasi untuk meneruskan kesinambungan perjalanan Persatuan ini. Setiap ahli seharusnya menyedari hal tersebut selain meniup mesra gerakan bersama semua ahli dalam menjana kecemerlangan dan mempertahankan keharmonian ukhuwwah sesama mereka.

Menjana kecemerlangan dan memperkasa kesatuan merupakan kombinasi hebat dalam menggaris etika kerja. Berpandukan kepada kombinasi tersebut, saf pimpinan sesi ini akan terus bergerak agar tidak tersasar. Sesudah meninggalkan 20 tahun penubuhan, teramat wajar pimpinan Persatuan sekarang memikirkan pula usaha menjana kecemerlangan Persatuan dari pelbagai aspek serta membantu ahli mencapai kecemerlangan akademik, moral, budaya serta pembentukan sahsiah idola.


Fenomena baru mendepani PPMS 2007

Seperti mana-mana pentadbiran, setiap pentadbiran pasti berhadapan sesuatu fenomena baru yang akan mencabar kemampuan pentadbiran tersebut, malah terdapat juga fenomena lama yang sentiasa menguji kemampuan tadbir.
Meniti di era baru 20an PPMS ditubuhkan, beberapa fenomena penting perlu diberi perhatian dan amat perlu dipandang berat oleh pihak pimpinan mahupun ahli kebanyakan.

Memandang kepada peningkatan ahli yang semakin rancak kebelakangan ini, pihak-pihak bertanggungjawab sebenarnya menghadapi suasana baru dan perlu aktif dalam usaha pengawalan. Fenomena akhlak dan moral ahli yang semakin terganggu khususnya amat ketara berikutan hal ini. Walaupun masih terkawal tetapi setidaknya akan wujud kesukaran baru terhadap proses himayah dalam usaha tarbiah yang jika tidak dicegah awal bakal membarah suatu masa nanti.

Antara lain, perhatian serius harus dihala kepada sikap ketidakgemaran ahli menyertai PPMS dalam banyak agenda yang semakin bertambah. Timbulnya pihak yang sebelum ini aktif berpersatuan kini menyampingkan diri dari PPMS juga sebenarnya menambahpilukan lagi keadaan yang sedia ada apatah lagi tidak dinafikan terdapat keberanian melampau segelintir ahli yang cuba mengajak pemboikotan berpersatuan.

Selain itu, barisan exco juga harus menghujahi pandangan serong beberapa pihak terhadap pembentukan saf pimpinan pada sesi ini. Sedar atau tidak, ramai yang menganggap pembentukan barisan exco pada tahun ini berlatarkan kepentingan puak. Oleh itu, usaha pemurnian semula martabat exco dan membina keyakinan ahli terhadap kepimpinan harus berjalan dengan agresif dan hikmah. Jika tidak, pandangan ini amat dibimbangi merebak luas lalu mempengaruhi ahli-ahli lain.

Fenomena besar yang menjadi taruhan kewibawaan exco pada tahun ini juga bakal dilihat kepada isu-isu yang melibatkan HELWI. HELWI yang semakin matang dan bertambah ahlinya telah berjaya memperjuangkan kepentingan dan kebajikan akhawat secara efektif sehingga diberi ruang yang luas dalam mentadbir sendiri kepentingan HELWI.

Berhubung hal ehwal akhawat, banyak pihak yang sedang menantikan keputusan akhir barisan exco dalam isu safar mar’ah, samada mahu meneruskan pendirian yang dijalankan selama ini dengan hujah-hujah am dari sumber-sumber ulama ataupun dilonggarkan dengan hujah-hujah khusus dan berqaid. Pastinya pihak pimpinan pada tahun ini memahami kaedah “bukan semua perkara harus, boleh diumumkan” dalam membuat kanun baru dalam pentadbiran. Hujah yang mantap dan berkualiti harus dikemukakan terhadap apa sekalipun keputusan yang bakal dipersembahkan kepada ahli-ahli yang ilmuwan khususnya. Hal ini amat perlu berikutan tahap akademik kebanyakan individu dalam barisan pimpinan adalah tidak boleh dianggap layak dalam mengeluarkan fatwa dan qarar. Oleh itu, munaqasyah yang melibatkan semua ahli yang layak khususnya amat perlu sebelum hal ini menjadi garis panduan yang bakal menjadi hujah buat jangka masa yang panjang kelak. Apa pun, perlu kembali menyedari pendirian Persatuan dalam isu-isu HELWI selama ini walau dianggap syadid oleh sebahagian manusia tetapi sebenarnya menjadi kebanggaan dan kekaguman oleh banyak pihak luar bila ia dapat berjalan dengan tertib tanpa sebarang kepincangan berlaku, sehingga melonjak thiqah dan hormat akhawat Malaysia di Syria pada pandangan luar.

Penjanaan Kecemerlangan

1. Mencipta Karisma:
Menyedari pandangan tinggi pihak luar kepada PPMS dari dahulu terhadap beberapa aspek, kepimpinan seharusnya menilai hal tersebut dan berusaha lagi meletakkan nama PPMS sebagai persatuan yang dihormati. Dari itu, karisma harus mula digilap di peringkat exco sehingga membentuk karisma unggul mewajahi PPMS. Selain usaha membina hormat orang terhadap PPMS, pandangan tinggi yang selama ini telah diletak orang terhadap PPMS jangan diruntuhkan. Oleh itu. 2 perkara harus difikirkan secara lebih pragmatik, iaitu pembinaan karisma unggul PPMS dan penerusan pandangan hormat orang terhadap PPMS.
6 perkara dilihat amat perlu untuk menjayakan hal tersebut iaitu;
- Pemimpin yang unggul dengan keilmuan dan fikrah yang unggul.
- Diplomasi yang matang dalam semua penjuru.
- Pemimpin yang disegani dan mesra rakyat agar menafikan jurang antara ahli dan pemimpin supaya dapat membina kombinasi padu dalam bekerja.
- Sistem yang kemas dan memudahkan tanpa birokrasi yang menyulitkan.
- Kesatuan dari kelompok pimpinan hasil usrah pimpinan yang berjaya.
- Mengekalkan tradisi yang dikagumi mewarisi kepimpinan sedia ada.

2. Kemahiran mencipta kerja dan kreatif dalam bekerja:
Pentadbiran edisi baru dengan kumpulan pimpinan pertama berjalan berpandukan perlembagaan selepas penggubalan besar besaran pada tahun 2006, petugas-petugas sewajarnya mahir mencipta kerja dalam bergerak supaya pengabaian tugas dan pembaziran tenaga tugas tidak berlaku. Daya kreatif juga harus diasah tajam dalam membentuk budaya kerja di kalangan petugas dan pimpinan agar keseimbangan dalam bekerja dapat dirasai selain memastikan Persatuan dapat meminimumkan kebergantungan terhadap pihak lain.

3. Membina dan meneruskan tradisi keilmuan dan kesarjanaan yang unggul:
Dengan keutamaan terhadap akademik diteruskan dalam agenda pentadbiran tahun ini, usaha membina lebih ramai ahli yang berinformasi tinggi pasti menjadi objektif pembentukan Lajnah Akademik. Bertungkus lumus bekerja menjamin kebajikan akademik ahli semestinya akan dirancakkan lagi berikutan peratus rasib yang meningkat pada tahun sebelumnya. Selain itu, Lajnah Akademik juga khususnya harus berusaha membina ahli ilmuwan yang berpotensi diketengahkan untuk bersuara dan menyentuh isu-isu semasa berpandukan ilmu yang tulen, selain mampu berhujah menyentuhi isu-isu agama yang sedia ada atau isu-isu agama dalam bentuk moden.

4. Pemerkasaan proses perkaderan:
Seperti tahun-tahun sebelumnya, program diskusi amat dititikberatkan. Perbelanjaan yang besar dalam program diskusi sentiasa dianggap tidak rugi memandangkan harapan tinggi pimpinan terhadap kejayaan program ini. Menggilap bakat sahsiah kepimpinan yang dilihat berpotensi diketengahkan dan mengawal ahli yang berpotensi tersasar merupakan taruhan besar pihak pentadbiran terhadap Lajnah Dakwah dan Tarbiah. Oleh itu, pemilihan mentor perlu dikaji dan diteliti kelayakannya di samping keprihatinan juga harus dihalakan ke arah susunletak mentor mengikut rumah dan ahli yang selayaknya. Kriteria mentor perlu jelas digariskan. Kepelbagaian program dalam usaha membina kader harus difikir bersama selain memberi kepercayaan kepada muka-muka baru dalam penerusan beberapa agenda PPMS. Selain itu, kelesuan dalam program tarbiah juga sebolehnya diceriakan semula.

Pemerkasaan Kesatuan

Fahaman sesetengah pihak terhadap wahdatul fikr yang hanya memenjarakan konsep tersebut kepada skop yang sempit iaitu hanya mesti kesatuan dalam lingkungan satu kepimpinan dan satu jamah juga harus dilihat semula. Walaupun tidak sesuai digunapakai dalam skop bila pulang ke Malaysia, fahaman ini mesti dipertahankan dalam konteks pelajar Malaysia di Syria memandangkan PPMS merupakan satu-satunya badan yang menaungi pelajar Malaysia di Syria selama ini tanpa sebarang kepincangan dan keadaan kesatuan yang sentiasa harmoni. Oleh itu segala pertubuhan yang menyimpang dari prinsip PPMS terlalu wajar dicantas awal.
Selain perpecahan yang dibimbangi berlaku ekoran pembentukan jemaah yang berbilang, unsur-unsur perpecahan dalaman juga harus diwaspadai. Oleh itu, beberapa perkara mesti diberi perhatian;

1. Mengadaptasi kaedah “Saling membantu dalam urusan yang disepakati dan bertolak ansur terhadap urusan yang diperselisihkan”.
Selagi tidak menyentuh isu-isu pokok dan prinsip dalam Islam, kaedah bertolak ansur dalam hal khilafiyah dan saling membantu dalam hal kesepakatan sebenarnya banyak membantu dalam mengukuhkan batu bata kesatuan di kalangan ahli. Bagi pimpinan, banyak perkara khilafiyah bakal dihadapi. Oleh itu sikap cepat melatah harus dielakkan.

2. Menjaga ahli yang dekat perlu diutamakan dari mengajak yang jauh supaya dekat.
Dalam ghairah mengajak ahli yang jauh dan tidak berminat berpersatuan agar mendekati persatuan lalu menyertai Persatuan dalam banyak hal, perlu diingati menjaga yang dekat supaya tidak jauh dan lari adalah lebih penting dan perlu kerana sesuatu yang belum pasti jangan terlalu digilakan tetapi sesuatu yang sudah pasti harus dihargai. Apa yang dikhuatiri ialah kendongan nanti keciciran lalu menambah bilangan besar ahli yang jauh sementara apa yang dikejar pula tidak dapat yang akhirnya terpaksa menanggung kerugian besar. Walaupun begitu, proses mengajak dekat ahli yang semakin jauh juga jangan sesekali dihentikan kerana masih terdapat ramai ahli yang berpotensi dimanfaatkan.

3. Berhati-hati terhadap perkara faktor perpecahan.
Beberapa perkara harus diwaspadai supaya perpecahan dapat dielakkan. Beberapa perkara harus diberi perhatian serius, antaranya ialah:
- Persatuan dan pimpinan harus meminimumkan kontroversi.
- Sentiasa bertolak ansur dan berhati-hati dalam hal-hal khilafiayah. Sikap terlalu memandang remeh terhadap perkara khilafiyah oleh pihak pimpinan atau terlalu memandang syadid oleh pihak bawahan sebenarnya akan membawa kepada perpecahan dan ketidaksepakatan dalam bersama.
- Semua puak dan pertubuhan harus meminimumkan perselisihan.
- Ahli secara keseluruhan harus mengamalkan cara hidup harmoni bermasyarakat dengan sikap berlapang dada dalam penerimaan kepelbagaian budaya, loghat bahasa, adat dan selera supaya budaya perbalahan yang hanya berpunca faktor geografi tidak wujud. Malah memanfaatkan kepelbagaian ini akan melahirkan pula jaringan yang unik.
- Perlu menghargai individu dalam jemaah atau individu yang memberi sokongan dan bantuan kepada jemaah. Hal ini jika tidak dilihat berat, akhirnya nanti Persatuan akan kehilangan petugas dan penyokong luar untuk persatuan terus bergerak. Sikap mengkritik kerja harus dilembutkan. Sikap membedal kerja orang lain juga harus dikikis habis supaya petugas tidak tawar bekerja. Kritik yang berlebihan dan melampau hanya merugikan memandangkan petugas yang sanggup bertanggungjawab memikul kerja di bawah PPMS bukanlah bergaji malah tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi.
- Selain melampau dalam kritikan terhadap petugas, semua ahli terutamanya pimpinan harus berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan yang bersifat sensitif. Kenyataan terbuka pimpinan terhadap ahli sentiasa menjadi kenyataan berat yang mewakili mesej persatuan. Oleh itu, sebarang kesilapan berkenyataan hanyalah akan menjerumuskan ahli kepada tidak minat berpersatuan.

Penutup

Kebanyakan ahli optimis dan meletakkan harapan yang tinggi terhadap kepimpinan sesi ini. Namun perlu diingati, banyak pihak juga sedang menunggu sejauh manakah tema tahun ini dapat meniup nafas kesegaran dalam perjalanan PPMS, dan apakah segala matlamat dan perancangan dapat direalisasikan. Banyak mata juga sedang melihat dan menanti kejayaan kombinasi pembentukan saf pimpinan tahun ini. Walaupun begitu, apa yang lebih penting ialah sikap ahli terhadap Persatuan yang selama ini menaungi pelajar Malaysia di Syria harus lebih positif. Ahli perlu sedar tanggungjawab menjulang PPMS sebenarnya amat perlu dibahukan oleh semua ahli.

No comments: