Friday, April 27, 2007

Wasiat Rasulullah buat Muslimah

kitab kecil ini menghimpunkan 10 wasiat Rasulullah kepada kaum hawa muslimah. Wasiat-wasiat Rasulullah yang dihimpun oleh Khalid Mahmud Khodim As-Sarujie menjadi kitab kecil ini dijual hanya dengan RM4 ringgit. Dicetak dan diedarkan oleh Makatabah Ibnu Qayim dan Dar ad-Dimasyqiayah.

10 wasiat tersebut menyentuh :
1. Pelawaan Rasulullah kepada wanita muslimah untuk memasuki Syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.

2. Saranan bertasbih, tahlil dan mensucikan Allah s.w.t

3. Peringatan bahwa wanita merupakan penghuni teramai Neraka.

4. Cegahan dari melakukan perkara keji dan melakukan dosa.

5. Larangan khusus kepada wanita dari dosa umpatan.

6. 2 golongan yang akan diazab.

7. Peringatan keadaan dalam neraka.

8. Celaan dan ancaman terhadap orang perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang.

9. Peringatan tentang larangan berduaan dengan lelaki dan suruhan bermusafir bersama lelaki yang mahram.

10. Suruhan mentaati suami.

11. Bonus: Hukum berjampi dengan kalam Allah dan syarat-syaratnya serta kaifiyatnya.

Papan Iklan : buku ini baik untuk dimiliki oleh setiap muslim lelaki dan perempuan sebagai peringatan pada diri. Amamt baik untuk diterjemahkan ke dalam bahasa melayu kepada yang berminat dan berkelapangan.

Monday, April 16, 2007

Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab sebagai tapak dakwah

siri 3
Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab sebagai tempat keputeraan Rasul Akhir Zaman.

sebelum menyusur lebih jauh dengan perbahasan ini, elok terlebih dahulu kita mengenali keadaan dunia ketika itu.

Keadaan Dunia ketika kelahiran NAbi s.a.w.

Ketika kelahiran Nabi s.a.w, Alam sedang menyaksikan kelahiran dan keunggulan 2 Kuasa besar dunia iaitu Parsi dan Rom selain kedatangan 2 pengaruh lagi dari Yunan dan India. Masing-masing mempunyai pengaruh dan tamadun sendiri dalam keadaan arab ketika itu sedang hanyut dengan kejahilan hidup dalam bersistem kesongsangan.

Parsi : Pengaruh Parsi ketika itu ialah keunggulan mereka dengan ilmu falsafah. Dengan kata lain mereka mengagungkan hujah logika dalam menggariskan hukum selain panduan hidup. Namun menjadi hakikat, logika apabila tidak berpandukan wahyu ilahi pastinya akal yang menganggap logik tersebut tersasar jauh dari fitrah kemanusiaan. Begitulah yang sedang berlaku di Parsi. Antara falsafah yang sering diperjuangkan ketika itu ialah membenarkan perkahwinan dengan ibu atau saudara kandung atau tidak juga menjadi kesalahan berkahwin dengan anak sendiri. Sehinggakan pemerintah, Yazdajir ke-2 mengamalkan falsafah ini bila berkahwin dengan anaknya sendiri. Antara kesongsangan lain tamadun Parsi ketika ini ialah falsafah menjadikan wanita sebagai barang perkongsian seperti lain-lain harta.
Namun apa yang ingin diketengahkan ialah, Parsi ketika itu unggul dengan ilmu pemikiran dan tamadun falsafahnya.

Rom : Pengaruh empayar Rom pada waktu itu pula ialah dengan kegagahan menjadi negara penyebar pengaruh Masihi atau kristian. Sebenarnya dengan matlamat menyebarkan pengaruh kristian ke seluruh dunia, mereka menjadi agung dengan jalan penjajahan, Dalam keunggulan menawan dan menguasai banyak negara takluk, Empayar Rom semakin tersimpang dengan kuasa yang terlalu luas sehingga menjadi zalim dalam pelbagai aspek terutama memonopoli ekonomi.

Yunan : keadaan Yunan ketika kelahiran nabi sebenarnya tidak banyak berbeza dengan Parsi. Mereka juga terlalu mengagungkan falsafah dan logika. Bersandarkan pemikiran tersebut, mereka mencipta agama dan sembahan sendiri.

India : Imam Abu Hasan Ali An-Nadwi mengatakan bahawa semua pengarang sejarah bersepakat bahawa India ketiku itu subur dengan kehidupan beragama dengan akhlak dan masyarakat yang baik. India dapat membina pengaruh Tamadun dan Masyarakat dengan bertapak di atas dasar kebendaan. Namun, tamadun dan masyarakat sebegitu tidak mampu berdiri lama apabila menjadikan material sebagai keutamaan kerana melahirkan masyarakat yang tidak berfikiran secara tulus.

Melihat perkembangan dunia ketika itu, kita dapat menyimpulkan bahawa kesesatan Arab yang berlaku pada waktu itu disebabkan kejahilan, manakala umat lain pula disebabkan kecelaruan dalam tamadun iaitu dengan sebab berfikir.

Oleh itu, tersingkaplah sudah kepada kita beberapa hikmah disebalik pemilihan Arab sebagai tempat menerima kelahiran Nabi s.a.w, antaranya :

1. Sekiranya Nabi dilahirkan dalam tamadun falsafah, masyarakat madani atau tamadun penaklukan, pihak musuh mempunyai hujah mengatakan Dakwah yang dibawa nabi sebenarnya terkesan dari peredaran pemikiran falsafah dan tamadun-tamadun tersebut. Allah yang memilih dan memelihara RAsulnya itu, mempunyai rancangan sendiri memilih tempat kelahiran baginda. Allah mahukan manusia dapat menerima bahawa dakwah yang dibawa oleh rasulullah itu sebenarnya secara tulin terus diajar oleh Allah kepada rasulnya tanpa sebarang pengaruh luar. Dilahirkan dengan dakwah yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan logik pemikiran dari masyarakat yang terlalu jahil dan mundur dalam pemikiran menjadi hujah betapa dakwah itu pasti berasal dari suatu kuasa Agung yang lain. Selain itu, hal ini dikuatkan lagi dengan menjadikan Nabi seorang yang alim dan seorang yang bertamadun menjangkaui masa sedangkan Baginda tidak pula boleh membca dan menulis.

2. Antara hikmah lain ialah kewujudan Baitullah di Mekah., Allah mahukan Nabi menguruskan Baitullah (kaabah) sehingga menjadi syiar teragung agama Islam yang dibawanya.

3. Selain itu Semenanjung Arab dan Mekah khususnya berada di titik geografi yang terlalu strategik untuk urusan dakwah. Semenanjung Arab berada tepat di pusat dunia yang menjadikan laluan antarabangsa dari semua sudut. Oleh itu, hal ini amat sesuai untuk menjadikan Semenanjung Arab sebagai pusat Sebaran Agama Islam.

4. Melihat dari sudut bahasanya, pemilihan Semenanjung Arab mehjadi hikmah pemilihan bahasa arab itu sendiri sebagai bahasa rasmi Dakwah Islam. Disebabkan bahasanya yang paling cantik selain mempunyai balaghah yang unik, bahasa ini juga mudah disebarkan ke seluruh dunia. Oleh itu, pemilihan Semenanjung Arab merupakan faktor terpenting untuk penyebaran kitab Al-Quran. Al-Quran yang di bawa ke tengah-tengah bangsa arab yang terlalu mengagungkan karya bahasa menjadikan semua pensyair (yang ketika itu merupakan manusia paling berpengaruh di Mekah) mengakui bahawa kalam ini bukan kalam dari manusia biasa.

Monday, April 9, 2007

Sejarah Kemasukan Berhala Ke Mekah

Siri 2

Hubungan Jahiliyah Dengan Agama Hanifiyah

Hanifiyah merupakan nama dari nama-nama Islam. Masyarakat Arab pada zaman Jahiliah menggelar manusia yang beragama dengan agama Ibrahim alaihissalam sebagai Hanif.
Oleh itu, fahamlah kita bahawa sisa baki dan kesan dari akidah, prinsip dan adab dari agama yang murni ini sentiasa wujud dan dikenali di semenanjung Arab ketika kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w.

Dari itu, adakah jahiliyah juga berasal dari agama hanif yang dengan peralihan zaman yang panjang merubah pegangan mereka dari agama hanif kepada menyembah berhala?

Kita akan rungkai masalah ini dengan penerangan sejarah peralihan zaman tersebut...

Bagaimana tersebarnya Berhala dan penyembahannya di Semenanjung Arab?

Sudah menjadi makluman bahawa bangsa arab merupakan keturunan Ismail Alaihissalam. Maka sudah tentu mereka mewarisi tauhid, suluk serta syariat yang dibawa oleh moyang mereka itu. Semua itu terbukti dengan sikap mereka yang mengagungkan Baitullah Al-haram. Sikap ini yang menjadi kewajipan semua orang di Mekah ketika kelahiran Nabi, menjadi bukti kesan pewarisan millah atau jalan yang dibawa oleh moyang mereka Ibrahim dan Ismail alaihimassalam.

Bagaimanapun, pertukaran zaman demi zaman yang panjang menyaksikan percampuran arab dengan bangsa lain yang berbilang sehingga pengaruh agama Hanif tersebut telah terkesan kebatilan-lebatilan dari sumber luar. Dengan pengaruh luar yang berdikit menjangkiti umat arab dari semasa ke semasa sehingga akhirnya telah merubah akidah generasi-generasi yang lewat kepada akidah yang batil dan cara hidup yang songsang. Bukan setakat itu, malah yang lebih parah mereka memerangi pula akidah dan cara hidup asal yang dibawa oleh moyang mereka sehingga memasyarakatkan cara hidup yang tidak bertamadun dan penuh kejahilan. Demikianlah masyarakat yang menerima kelahiran Penghulu Segala Rasul.

Amru ibnu Luhai merupakan orang pertama membawa masuk berhala ke Mekah :

Orang pertama yang membawa masuk syirik dan berhala ke Mekah ialah Amru ibnu Luhai ibnu Qama'h yang merupakan moyang kepada kabilah Khuzaa'h.
Diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam (Pakar Sejarah Islam) dengan sanadnya menceritakan bagaimana Amru membawa masuk pengaruh sembahan berhala ke Mekah. Ketika beliau keluar ke Syam atas beberapa urusannya, beliau singgah di Maab suatu tempat di kawasan balqa' dan beliau terlihat di sana masyarakatnya menyembah berhala bertanya "apakah benda yang kamu sembahkan ini?" mereka menjawab "inilah Yuhan yang kami sembah. Bila kami meminta hujan, diberinya kami hujan. Bila kami meminta pertolongan, dia menolong kami." kata Amru pula selepas terpengaruh "tidakkah kamu mahu berikan aku satu patung ini? Aku ingin membawa pulang ke Tanah Arab maka masyarakat arab juga boleh menyembahnya," maka mereka memberikannya satu berhala yang dikatakan bernama 'habal' lalu dia membawa pulang dan masyarakat arab selepsa itu mula menyembahnya.

Inilah permulaan kemasukan berhala ke Mekah. selepas beberapa lama ketika itu tersebarlah pengaruh sembahan berhala ini ke serata Mekah dan terus merubah akidah ahli Mekah sedikit demi sedikit sehingga bertambahnya berhala dari waktu ke waktu yang akhirnya ketika Nabi dilahirkan, bilangan berhala di sekeliling Kaabah sahaja mempunyai sebanyak 360 jenis berhala.

Apa yang berlaku merupakan proses pensyirikan bangsa arab sewaktu itu. Tetapi tidak dapat dinafikan,apa yang dibawa oleh Ibrahim dan Ismail a.s masih menjadi pegangan mereka. Cuma cara mereka sahaja yang telah mengubah mereka menjadi bangsa yang songsang. Ini terbukti apabila mereka masih mempercayai Allah tetapi dalam waktu yang sama mereka sembahkan berhala dengan alasan berhala tersebut menjadi pengantara dengan Allah. Mereka percaya dengan hari pembalasan dan balasan syurga neraka tetapi mereka nafikan kebangkitan Utusan Akhir Zaman. Oleh itu, boleh dikatakan kecelaruan akidah yang terjadi kepada bangsa Arab di Mekah itu telah menrosakkan akidah dan cara hidup mereka tetapi dalam masa yang sama pengaruh tauhid dan akidah yang dibawa oleh moyang mereka tetap menular. Hal ini dikuatkan lagi dengan kewujudan beberapa orang yang masih pegang kukuh dengan agama Hanif ketika Nabi dilahirkan.

Berdasarkan keterangan tersebut, keadaan sebegitu menjadi satu hikmah kenapa Nabi dipilih dari kelompok arab sebegitu. Sejarah menerangkan, walau sebegitu tidak bertamadunnya hidup masyarakat mekah ketika itu tetapi sebenarnya mereka merupakan masyarakat yang paling sedikit menyimpang dari ajaran Islam yang asal dari masyarakat dan bangsa lain yang lebih jauh dari Islam. Oleh sebab pengaruh Akidah Hanif yang masih wujud di sanalah menjadi salah satu hikmah pemilihan Masyarakat Jahiliyah Mekah menerima kelahiran Rasul Akhir zaman.


Papan Iklan : selepas ini kita akan lihat pula Sejarah Pemilihan Semenanjung Arab menjadi tapak awal Risalah Rasulullah s.a.w....
Kenapa di sana, tidak di Rom atau Parsi?!

Hubungan Dakwah Antara Rasul

Siri 1
Hubungan Saidina Muhammad Dengan Dakwah Samawiyah Yang Terdahulu

Ramai yang bersoal adakah agama yang dibawa oleh sdna. Muhammad adalah agama baru yang berbeza dari agama rasul-rasul sebelumnya?

Ulama menjawab, agama yang dibawa oleh nabi dan rasul semuanya itu, bermula dari Adam sehingga Muhammad alaihimus salam adalah agama yang satu. Agama itu dinamakan Islam dan pengikutnya dipanggil muslim. Firman Allah “ Dia menamakan umat sebelumnya sebagai muslimin dan juga pada umat ini..” – al-Haj: 78

Dakwah setiap rasul itu bersaskan 2 faktor terpenting iaitu Aqidah dan Pensyariatan serta Akhlak.

Aqidah:
Faktor ini dibawa oleh semua rasul tanpa ada sebarang perselisihan antara satu sama lain. Frman Allah “sesungguhnya Agama di sisi Allah itu adalah Islam” ali Imran – 19. Oleh itu, isi kandungannya semenjak kebangkitan Adam sehingga Penutup Segala Rasul adalah benda yang sama iaitu mengesakan Allah Yang Maha Suci serta menafikan segala sifat yang tidak layak bagi-Nya, disamping mengajak mengimani Hari Kebangkitan, syurga dan neraka serta perkara-perkara ghaibiyat yang lain. Setiap Nabi akan membenarkan dakwah rasul sebelumnya dan mengkhabarkan pula kebangkitan Rasul selepasnya. Mereka juga akan memperkenalkan hakikat kejadian manusia dan kehidupan selain memperkenalkan hakikat ibadah kepada Allah s.w.t.
Demikianlah resam kebangkitan Nabi dan segala Rasul walau berbeza masa, umat dan kaum. Perkara tersebut adalah kerana hal akidah merupakan urusan yang datang dengan khabar. Dan khabar pula mustahil akan berbeza sesama rasul kerana sifat wajib bagi rasul ialah benar.

Pensyariatan dan Akhlak:
Faktor ini merupakan urusan suluk dari Agama. Dan telah sabit bahawa setiap syariat yang datang samada menasakhkan syariat sebelumnya, atau diam dan menguatkan lagi syariat tersebut.

Daripada hikmah perbezaan syariat-syariat dari langit ini ialah untuk menyesuaikan agama Islam dengan masyarakat waktu itu. Oleh itu, perbezaan syariat ini datang mengikut kaum dan waktu tertentu. Oleh itu, syariat Nabi Musa sesuai untuk kaumnya sehingga kebangkitan rasul selepasnya. Syariat Nabi Isa juga sesuai sehingga dibangkitkan Muhammad. Maka selepas kebangkitan Muhammad, syariat sebelumnya langsung tidak sesuai dipraktikkan ketika itu. Syariat ini dihantar oleh Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan Ilmu Allah, syariat terakhir kepada Nabi Muhammad merupakan syariat yang paling sesuai diamalkan untuk beribu tahun sehingga kedatangan Hari Kiamat tanpa sebarang keraguan walau berbeza zaman dan suasana.

Daripada perkara tersebut, jelaslah bahawa tidak wujud agama samawiyah yang berbilang-bilang tetapi wujud syariat dari langit yang berbilang.

Papan Iklan : selepas ini kita akan melihat pula hubungan antara jahiliyah dan ajaran Nabi Ibrahim, serta sejarah penyebaran berhala di Semenanjung Arab termasuk Mekah

Thursday, March 29, 2007

Menjana Kecemerlangan Memperkasa Kesatuan

Menapak di era 20 an penubuhan
Menjana Kecemerlangan Memperkasa Kesatuan

Mukaddimah
2007, PPMS dilihat masih kuat untuk terus bertapak sebagai wadah utama dalam menjamin kepentingan pelajar Malaysia di Syria. Dikemudi dengan nafas dan wajah-wajah baru, PPMS diharap akan terus menjadi wira memperjuangkan matlamat penubuhannya terutama dalam menjamin kebajikan, menggilap akademik serta cemerlang dalam tarbiah di samping diplomasi yang matang dengan semua pihak selari dengan umur persatuan yang sudah masak untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan badan-badan lain seumpamanya. Persatuan sekarang menapak mula di era 20 an umur penubuhannya akan meneruskan lagi matlamat penubuhan yang sama dan menjadi wadah tunggal naungan pelajar-pelajar Malaysia di Syria serta mengungguli penyatuan fikrah dan penggemblengan kudrat demi menjamin perpaduan yang sentiasa disenangi.

Berlatarkan Perlembagaan Persatuan yang telah digubal besar besaran pada tahun lalu, wajah pimpinan tahun ini semestinya adalah yang terpilih menjadi kelompok pertama bekerja dengan nafas yang baru dan memberi kesegaran baru kepada semua ahli dalam berpersatuan. Mentadbir di gerbang mula era 20 an berpandukan sistem yang baru diperkenalkan dengan 84.6% dari barisan exco merupakan muka-muka baru, menjadikan terlalu banyak mata memandang dan menanti sejauh mana kelompok pimpinan terpilih ini mampu bertahan. Pelbagai keputusan yang dianggap kontroversi atau tidak sebenarnya telah diperbualkan oleh sebilangan ahli.

Walaupun telah melalui pelbagai rencah hidup, beraneka karenah ahli dan beragam jenis tribulasi yang kadang-kadang bersifat kronik, tugas menyatukan semua ahli dengan pelbagai fikrah dari pelbagai latar belakang bukan menjadi suatu kerja yang remeh dan mudah. Setiap sesi pentadbiran, hal ini amat dititikberatkan. Beraneka metode harus dikaji dan diadaptasi untuk meneruskan kesinambungan perjalanan Persatuan ini. Setiap ahli seharusnya menyedari hal tersebut selain meniup mesra gerakan bersama semua ahli dalam menjana kecemerlangan dan mempertahankan keharmonian ukhuwwah sesama mereka.

Menjana kecemerlangan dan memperkasa kesatuan merupakan kombinasi hebat dalam menggaris etika kerja. Berpandukan kepada kombinasi tersebut, saf pimpinan sesi ini akan terus bergerak agar tidak tersasar. Sesudah meninggalkan 20 tahun penubuhan, teramat wajar pimpinan Persatuan sekarang memikirkan pula usaha menjana kecemerlangan Persatuan dari pelbagai aspek serta membantu ahli mencapai kecemerlangan akademik, moral, budaya serta pembentukan sahsiah idola.


Fenomena baru mendepani PPMS 2007

Seperti mana-mana pentadbiran, setiap pentadbiran pasti berhadapan sesuatu fenomena baru yang akan mencabar kemampuan pentadbiran tersebut, malah terdapat juga fenomena lama yang sentiasa menguji kemampuan tadbir.
Meniti di era baru 20an PPMS ditubuhkan, beberapa fenomena penting perlu diberi perhatian dan amat perlu dipandang berat oleh pihak pimpinan mahupun ahli kebanyakan.

Memandang kepada peningkatan ahli yang semakin rancak kebelakangan ini, pihak-pihak bertanggungjawab sebenarnya menghadapi suasana baru dan perlu aktif dalam usaha pengawalan. Fenomena akhlak dan moral ahli yang semakin terganggu khususnya amat ketara berikutan hal ini. Walaupun masih terkawal tetapi setidaknya akan wujud kesukaran baru terhadap proses himayah dalam usaha tarbiah yang jika tidak dicegah awal bakal membarah suatu masa nanti.

Antara lain, perhatian serius harus dihala kepada sikap ketidakgemaran ahli menyertai PPMS dalam banyak agenda yang semakin bertambah. Timbulnya pihak yang sebelum ini aktif berpersatuan kini menyampingkan diri dari PPMS juga sebenarnya menambahpilukan lagi keadaan yang sedia ada apatah lagi tidak dinafikan terdapat keberanian melampau segelintir ahli yang cuba mengajak pemboikotan berpersatuan.

Selain itu, barisan exco juga harus menghujahi pandangan serong beberapa pihak terhadap pembentukan saf pimpinan pada sesi ini. Sedar atau tidak, ramai yang menganggap pembentukan barisan exco pada tahun ini berlatarkan kepentingan puak. Oleh itu, usaha pemurnian semula martabat exco dan membina keyakinan ahli terhadap kepimpinan harus berjalan dengan agresif dan hikmah. Jika tidak, pandangan ini amat dibimbangi merebak luas lalu mempengaruhi ahli-ahli lain.

Fenomena besar yang menjadi taruhan kewibawaan exco pada tahun ini juga bakal dilihat kepada isu-isu yang melibatkan HELWI. HELWI yang semakin matang dan bertambah ahlinya telah berjaya memperjuangkan kepentingan dan kebajikan akhawat secara efektif sehingga diberi ruang yang luas dalam mentadbir sendiri kepentingan HELWI.

Berhubung hal ehwal akhawat, banyak pihak yang sedang menantikan keputusan akhir barisan exco dalam isu safar mar’ah, samada mahu meneruskan pendirian yang dijalankan selama ini dengan hujah-hujah am dari sumber-sumber ulama ataupun dilonggarkan dengan hujah-hujah khusus dan berqaid. Pastinya pihak pimpinan pada tahun ini memahami kaedah “bukan semua perkara harus, boleh diumumkan” dalam membuat kanun baru dalam pentadbiran. Hujah yang mantap dan berkualiti harus dikemukakan terhadap apa sekalipun keputusan yang bakal dipersembahkan kepada ahli-ahli yang ilmuwan khususnya. Hal ini amat perlu berikutan tahap akademik kebanyakan individu dalam barisan pimpinan adalah tidak boleh dianggap layak dalam mengeluarkan fatwa dan qarar. Oleh itu, munaqasyah yang melibatkan semua ahli yang layak khususnya amat perlu sebelum hal ini menjadi garis panduan yang bakal menjadi hujah buat jangka masa yang panjang kelak. Apa pun, perlu kembali menyedari pendirian Persatuan dalam isu-isu HELWI selama ini walau dianggap syadid oleh sebahagian manusia tetapi sebenarnya menjadi kebanggaan dan kekaguman oleh banyak pihak luar bila ia dapat berjalan dengan tertib tanpa sebarang kepincangan berlaku, sehingga melonjak thiqah dan hormat akhawat Malaysia di Syria pada pandangan luar.

Penjanaan Kecemerlangan

1. Mencipta Karisma:
Menyedari pandangan tinggi pihak luar kepada PPMS dari dahulu terhadap beberapa aspek, kepimpinan seharusnya menilai hal tersebut dan berusaha lagi meletakkan nama PPMS sebagai persatuan yang dihormati. Dari itu, karisma harus mula digilap di peringkat exco sehingga membentuk karisma unggul mewajahi PPMS. Selain usaha membina hormat orang terhadap PPMS, pandangan tinggi yang selama ini telah diletak orang terhadap PPMS jangan diruntuhkan. Oleh itu. 2 perkara harus difikirkan secara lebih pragmatik, iaitu pembinaan karisma unggul PPMS dan penerusan pandangan hormat orang terhadap PPMS.
6 perkara dilihat amat perlu untuk menjayakan hal tersebut iaitu;
- Pemimpin yang unggul dengan keilmuan dan fikrah yang unggul.
- Diplomasi yang matang dalam semua penjuru.
- Pemimpin yang disegani dan mesra rakyat agar menafikan jurang antara ahli dan pemimpin supaya dapat membina kombinasi padu dalam bekerja.
- Sistem yang kemas dan memudahkan tanpa birokrasi yang menyulitkan.
- Kesatuan dari kelompok pimpinan hasil usrah pimpinan yang berjaya.
- Mengekalkan tradisi yang dikagumi mewarisi kepimpinan sedia ada.

2. Kemahiran mencipta kerja dan kreatif dalam bekerja:
Pentadbiran edisi baru dengan kumpulan pimpinan pertama berjalan berpandukan perlembagaan selepas penggubalan besar besaran pada tahun 2006, petugas-petugas sewajarnya mahir mencipta kerja dalam bergerak supaya pengabaian tugas dan pembaziran tenaga tugas tidak berlaku. Daya kreatif juga harus diasah tajam dalam membentuk budaya kerja di kalangan petugas dan pimpinan agar keseimbangan dalam bekerja dapat dirasai selain memastikan Persatuan dapat meminimumkan kebergantungan terhadap pihak lain.

3. Membina dan meneruskan tradisi keilmuan dan kesarjanaan yang unggul:
Dengan keutamaan terhadap akademik diteruskan dalam agenda pentadbiran tahun ini, usaha membina lebih ramai ahli yang berinformasi tinggi pasti menjadi objektif pembentukan Lajnah Akademik. Bertungkus lumus bekerja menjamin kebajikan akademik ahli semestinya akan dirancakkan lagi berikutan peratus rasib yang meningkat pada tahun sebelumnya. Selain itu, Lajnah Akademik juga khususnya harus berusaha membina ahli ilmuwan yang berpotensi diketengahkan untuk bersuara dan menyentuh isu-isu semasa berpandukan ilmu yang tulen, selain mampu berhujah menyentuhi isu-isu agama yang sedia ada atau isu-isu agama dalam bentuk moden.

4. Pemerkasaan proses perkaderan:
Seperti tahun-tahun sebelumnya, program diskusi amat dititikberatkan. Perbelanjaan yang besar dalam program diskusi sentiasa dianggap tidak rugi memandangkan harapan tinggi pimpinan terhadap kejayaan program ini. Menggilap bakat sahsiah kepimpinan yang dilihat berpotensi diketengahkan dan mengawal ahli yang berpotensi tersasar merupakan taruhan besar pihak pentadbiran terhadap Lajnah Dakwah dan Tarbiah. Oleh itu, pemilihan mentor perlu dikaji dan diteliti kelayakannya di samping keprihatinan juga harus dihalakan ke arah susunletak mentor mengikut rumah dan ahli yang selayaknya. Kriteria mentor perlu jelas digariskan. Kepelbagaian program dalam usaha membina kader harus difikir bersama selain memberi kepercayaan kepada muka-muka baru dalam penerusan beberapa agenda PPMS. Selain itu, kelesuan dalam program tarbiah juga sebolehnya diceriakan semula.

Pemerkasaan Kesatuan

Fahaman sesetengah pihak terhadap wahdatul fikr yang hanya memenjarakan konsep tersebut kepada skop yang sempit iaitu hanya mesti kesatuan dalam lingkungan satu kepimpinan dan satu jamah juga harus dilihat semula. Walaupun tidak sesuai digunapakai dalam skop bila pulang ke Malaysia, fahaman ini mesti dipertahankan dalam konteks pelajar Malaysia di Syria memandangkan PPMS merupakan satu-satunya badan yang menaungi pelajar Malaysia di Syria selama ini tanpa sebarang kepincangan dan keadaan kesatuan yang sentiasa harmoni. Oleh itu segala pertubuhan yang menyimpang dari prinsip PPMS terlalu wajar dicantas awal.
Selain perpecahan yang dibimbangi berlaku ekoran pembentukan jemaah yang berbilang, unsur-unsur perpecahan dalaman juga harus diwaspadai. Oleh itu, beberapa perkara mesti diberi perhatian;

1. Mengadaptasi kaedah “Saling membantu dalam urusan yang disepakati dan bertolak ansur terhadap urusan yang diperselisihkan”.
Selagi tidak menyentuh isu-isu pokok dan prinsip dalam Islam, kaedah bertolak ansur dalam hal khilafiyah dan saling membantu dalam hal kesepakatan sebenarnya banyak membantu dalam mengukuhkan batu bata kesatuan di kalangan ahli. Bagi pimpinan, banyak perkara khilafiyah bakal dihadapi. Oleh itu sikap cepat melatah harus dielakkan.

2. Menjaga ahli yang dekat perlu diutamakan dari mengajak yang jauh supaya dekat.
Dalam ghairah mengajak ahli yang jauh dan tidak berminat berpersatuan agar mendekati persatuan lalu menyertai Persatuan dalam banyak hal, perlu diingati menjaga yang dekat supaya tidak jauh dan lari adalah lebih penting dan perlu kerana sesuatu yang belum pasti jangan terlalu digilakan tetapi sesuatu yang sudah pasti harus dihargai. Apa yang dikhuatiri ialah kendongan nanti keciciran lalu menambah bilangan besar ahli yang jauh sementara apa yang dikejar pula tidak dapat yang akhirnya terpaksa menanggung kerugian besar. Walaupun begitu, proses mengajak dekat ahli yang semakin jauh juga jangan sesekali dihentikan kerana masih terdapat ramai ahli yang berpotensi dimanfaatkan.

3. Berhati-hati terhadap perkara faktor perpecahan.
Beberapa perkara harus diwaspadai supaya perpecahan dapat dielakkan. Beberapa perkara harus diberi perhatian serius, antaranya ialah:
- Persatuan dan pimpinan harus meminimumkan kontroversi.
- Sentiasa bertolak ansur dan berhati-hati dalam hal-hal khilafiayah. Sikap terlalu memandang remeh terhadap perkara khilafiyah oleh pihak pimpinan atau terlalu memandang syadid oleh pihak bawahan sebenarnya akan membawa kepada perpecahan dan ketidaksepakatan dalam bersama.
- Semua puak dan pertubuhan harus meminimumkan perselisihan.
- Ahli secara keseluruhan harus mengamalkan cara hidup harmoni bermasyarakat dengan sikap berlapang dada dalam penerimaan kepelbagaian budaya, loghat bahasa, adat dan selera supaya budaya perbalahan yang hanya berpunca faktor geografi tidak wujud. Malah memanfaatkan kepelbagaian ini akan melahirkan pula jaringan yang unik.
- Perlu menghargai individu dalam jemaah atau individu yang memberi sokongan dan bantuan kepada jemaah. Hal ini jika tidak dilihat berat, akhirnya nanti Persatuan akan kehilangan petugas dan penyokong luar untuk persatuan terus bergerak. Sikap mengkritik kerja harus dilembutkan. Sikap membedal kerja orang lain juga harus dikikis habis supaya petugas tidak tawar bekerja. Kritik yang berlebihan dan melampau hanya merugikan memandangkan petugas yang sanggup bertanggungjawab memikul kerja di bawah PPMS bukanlah bergaji malah tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi.
- Selain melampau dalam kritikan terhadap petugas, semua ahli terutamanya pimpinan harus berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan yang bersifat sensitif. Kenyataan terbuka pimpinan terhadap ahli sentiasa menjadi kenyataan berat yang mewakili mesej persatuan. Oleh itu, sebarang kesilapan berkenyataan hanyalah akan menjerumuskan ahli kepada tidak minat berpersatuan.

Penutup

Kebanyakan ahli optimis dan meletakkan harapan yang tinggi terhadap kepimpinan sesi ini. Namun perlu diingati, banyak pihak juga sedang menunggu sejauh manakah tema tahun ini dapat meniup nafas kesegaran dalam perjalanan PPMS, dan apakah segala matlamat dan perancangan dapat direalisasikan. Banyak mata juga sedang melihat dan menanti kejayaan kombinasi pembentukan saf pimpinan tahun ini. Walaupun begitu, apa yang lebih penting ialah sikap ahli terhadap Persatuan yang selama ini menaungi pelajar Malaysia di Syria harus lebih positif. Ahli perlu sedar tanggungjawab menjulang PPMS sebenarnya amat perlu dibahukan oleh semua ahli.

Friday, March 23, 2007

Aurat

Aurat Wanita;
1. Aurat Wanita Muslimah di hadapan lelaki ajnabi:
Semua Ulama bersepakat bahawa selain dari muka dan dua belah tapak tangan merupakan aurat yang wajib ditutup di hadapan lelaki asing (ajnabi).
cuma sahaja ulama berselisih pendapat pada muka, adakah ia aurat atau tidak?

JUMHUR ULAMA' termasuk pendapat yang lebih sahih dari Mazhab Imam Syafie mengatakan muka tidak dikira aurat. Dalil mereka, perkataan 'zinah' (perhiasan) di dalam ayat 31 dari surah An-Nur membawa makna muka.

PENDAPAT KE DUA, oleh Mazhab Hanbali mengatakan Semua juzuk dari setiap inci tubuh wanita adalah aurat (termasuk muka dan tapak tangan) di hadapan lelaki ajnabi.

Tetapi kedua-dua kumpulan ulama tetap bersepakat : Apabila seseorang wanita muslimah mengetahui atau menyangka akan terdapat lelaki yang melihatnya dengan pandangan syahwat dan lelaki itu tidak akan menundukkan pandangannya seperti suruhan Allah.. maka wajib perempuan tersebut mencegah lelaki itu dari kemungkaran semampunya iaitu dengan tidak menunjukkan mukanya kepada mereka atau memakai niqab.

Masalah:
Semua ulama telah pun ijmak : Apabila telah menular kefasikan di muka bumi, wajib kepada semua Wanita Muslimah menutup mukanya, samada mereka yang mengatakan muka adalah aurat ataupun tidak.

2. Aurat wanita Muslimah sesama Muslimah:
Aurat muslimah di hadapan muslimah yang lain adalah semua bahagian dari pusat turun ke lutut.

3. Aurat muslimah dengan perempuan kafir :
Aurat muslimah di hadapan wanita kafir adalah sama dengan auratnya di hadapan lelaki ajnabi.

4. Aurat muslimah di hadapan mahram :
(ramai orang menyebut muhrim - sebenarnya muhrim adalah salah kerana muhrim bermakna orang yang sedang berihram yakni ketika melakukan kerja haji)
Auratnya ialah semua juzuk dari had pusat turun ke lutut

perhatian : ada beberapa keadaan Islam membenarkan lelaki melihat wanita ajnabiah hatta auratnya sekalipun. Keadaan-keadaan itu akan disebut dalam entri yang lain - harap maklum


Aurat Lelaki:

Aurat lelaki di hadapan perempuan ajnabiah:
seluruh badan hingga ke bawah lutut.

Aurat lelaki di hadapan wanita mahramah:
Semua anggota dari had pusat ke lutut.


Aurat Lelaki muslim sesama lelaki muslim:
Semua anggota dari had pusat ke lutut.

Aurat lelaki di hadapan lelaki kafir:
Semua anggota dari had pusat ke lutut.

Sunday, March 11, 2007

Yahudi.. suatu pengenalan ringkas

Pengenalan ringkas tentang yahudi:

Keturunan yahudi berasal dari:
1. Ashkenazim - Eropah
(anak-anak haram yahudi atau bukan asal keturunan yahudi)

2. Sephardim - Sepanyol

3. Oriental Jews - Arab, Ethopia

Tabiat Yahudi :
Yahudi dari dulu lagi bermusuh dengan semua bangsa dan semua orang. Sejarah menunujukkan mereka kerapkali dihalau. (contoh : khianatan pertama pada tahun ke 2 pembentukan Negara Islam Madinah oleh Bani Qainuqa' (satu bangsa yahudi di Madinah)

Tabiat Yahudi yang disebut di dalam Al-Quran:
1. Surah Al-Baqarah ayat 80 / 88 dan 91 : angkuh
2. Surah Al-baqarah ayat 67 - 71 : banyak bertanya dengan erti mengejek dan mempersenda Rasul iaitu Musa a.s. ( bertanya dengan apa yang tidak sepatutnya atau loyar buruk)
3. Surah Al-Baqarah ayat 96 : sangat tamak
4. Surah Al-maidah ayat 41 - 42 : Gemar Bohong
5. Surah Al-Maidah ayat 78 : Dilaknat
6. Surah Al-Maidah ayat 77 dan surah Al-A'raf ayat 161-171 : melampau
7. Surah Ar-Rum ayat 41-42 : melakukan Rosak di laut dan di darat.

Beberapa Protokol Zionis yang terlalu ekstrim dan perlu diketahui :

Protokol 1 : Cara memerintah yang sebaiknya ialah dengan keganasan dan kekerasan, bukannya dengan perbincangan ilmiah.

Protokol 3 : Yahudi akan menjadikan negara bukan yahudi sebagai gelanggang pertelagahan manusia yang boleh membawa huru-hara dan seterusnya kemerosotan ekonomi.

Protokol 4 : Bangsa yahudi mestilah menghapuskan segala bentuk kepercayaan agama.

Protokol 10 : Yahudi akan membawa masuk liberalisme ke dalam negara-negara bukan yahudi supaya menggugat kestabilan politik.

Protokol 11 : Bangsa yahudi menyifatkan diri mereka sebagai SERIGALA dan bangsa lain sebagai KAMBING.

Protokol 14 : Para filosuf (ahli falsafah) mestilah membincangkan kekurangan-kekurangan dan mendedahkan keburukan agama lain. Para penulis yahudi pula harus menonjolkan tulisan pornografi ( sekarang telah pun banyak dalam bentuk gambar pula)

Wednesday, March 7, 2007

Sebab Kemunculan Sekular

5 sebab utama kemunculan fahaman sekular;

1. Isi agama kristian: yang sifatnya tidak lengkap
2. Kuasa gereja dan tokoh agama (kristian).
3. Suasana sosioekonomi di Eropah.
4. Hubungan gereja dan pemerintah : yang bersengketa
5. konflik gereja dengan ilmuan

Monday, March 5, 2007

Fiqh Aulawiyat

Fiqh Aulawiyat (memahami fiqh keutamaan)
Karangan Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

Membincangkan kepentingan umat memahami fiqh keutamaan dalam kehidupan bersyariat. Menyusun panduan peripenting merai dengan mengutamakan seuastu yang lebih penting dari yang penting, dari yang penting berbanding kurang penting. Kitab ini membahaskan kepentingan mendahulukan sesuatu yang lebih perlu didahulukan berbanding perkara perkara perlu yang lain supaya maqasid syariah (objektif pensyariatan) tidak terabai dalam setiap perlakuan dan tindakan kita.

Kitab ini disusun mengikut 11 bab kesemuanya iaitu:

1) Keperluan Umat Islam memahami keutamaan.
2) Hubungan Antara memahami keutamaan dengan fahaman keutamaan yang lain.
3) Mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.
4) Keutamaan Ilmu berbanding dengan amalan.
5) Mengutamakan persoalan yang ringan dan mudah berbanding persoalan yang berat dan rumit.
6) Pelbagai keutamaan dalam bidang kerja.
7) Keutamaan terhadap perkara yang diperintahkan.
8) Keutamaan terhadap perkara perkara yang dilarang.
9) Keutamaan mencapai pembaikan.
10) Memahami keutamaan warisan pemikiran.
11) Memahami keutamaan dakwah para reformis moden.


Kitab ini amat sesuai untuk dibaca oleh semua ahli masyarakat. Penggunaan bahasa yang tidak sukar difahami akan membantu anda mencapai apa yang dimaksudkan oleh pengarang. Kitab ini boleh didapati disemua dar atau kedai kedai kitab seperti Darul Fikir, Darul Salam dan sebangainya. Kitab ini juga boleh didapati dalam bentuk terjemahan ke bahasa melayu (Malaysia) oleh ABIM.

* Sebarang kemusykilan dalam kitab ini sila rujuk kepada ahli ilmu yang selayaknya. Jika anda khuatir ketidakseimbangan tahap kefahaman anda tentang agama, sila memahami buku ini dengan bantuan ahli agama yang ilmuan.

Assalamualaikum..

Assalamualaikum..
kepada semua pengunjung yang dihormati, di sini anda akan mengenali bayu senja melalui fikrahnya. Di halaman ini, bayu senja akan menghidangkan pengunjung semua dengan tazkirah, fikrah dan pandangan terhadap isu-isu yang berlaku.
Semoga suasana munaqasyah dapat hidup di sini..

Terimakasih, selamat berkunjung..
Segala sokongan anda sangat bayu hargai :)